Monday, March 16, 2009

Kekosongan Di Sektor Awam Akan Diisi

Berita baik untuk mereka yang berdepan dengan masalah pekerjaan terutama kepada yang baru diberhentikan akibat kegawatan ekonomi atau mereka yang baru menamatkan penganjian kerana kerajaan akan membuat pengambilan seramai 63,000 orang kakitangan sama ada secara tetap atau kontrak di peringkat profesional atau sokongan bagi mengisi kekosongan di pelbagai agensi kerajaan.

Seperti yang diumumkan dalam pakej rangsangan kedua baru-baru ini, sebanyak 50,000 jawatan kosong di peringkat profesional dan sokongan dalam perkhidmatan awam Persekutuan akan diisi segera dan agensi-agensi kerajaan pula akan diberi kuasa untuk melantik kakitangan kumpulan sokongan.

Selain jaminan kerajaan untuk mengisi kekosongan jawatan di sektor awam, usaha lain yang diambil termasuklah memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi menyediakan 163,000 latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran dan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Daripada jumlah tersebut, 100,000 latihan yang disediakan merupakan inisiatif usahasama kerajaan dan majikan sektor swasta. Sementara sasaran utama latihan ini adalah untuk memberikan manfaat kepada pekerja yang diberhentikan, pekerja yang diberhentikan sementara, mereka yang mengalami masalah kekurangan pendapatan untuk menampung hidup dan siswazah menganggur.

Kebelakangan ini impak kemelesetan ekonomi global mulai dirasai oleh rakyat di mana kadar pengangguran negara pada tahun ini meningkat kepada 4.5 peratus berbanding 3.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Sejak Oktober 2008, seramai 25,000 orang telah kehilangan pekerjaan manakala 30,900 telah diberhentikan sementara sementara 23,900 orang terpeksa berkerja dengan pengurangan gaji.

[Selanjutnya]

Tuesday, March 10, 2009

Membela Rakyat Menjadi Teras Utama

RM60 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan melalui pakej rangsangan tambahan – satu jumlah yang di luar jangkaan ramai dan kali pertama tindakan seumpama itu dilakukan dalam sejarah ekonomi negara bagi mengelak Malaysia terjerumus dalam krisis ekonomi ketika ini.

Tambahan sebanyak RM60 bilion serta RM7 bilion bagi Pakej Rangsangan Pertama sebelum ini serta keseluruhan peruntukan RM206 bilion dalam Bajet 2009, diharap mampu mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara.

Jika dilihat pakej rangsangan kedua ini lebih bertumpu kepada empat teras dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun di mana RM2 bilion diperuntukkan untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan, RM10 bilion untuk meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas, RM29 bilion untuk membantu sektor swasta menghadapi krisis dan RM19 bilion untuk membina keupayaan masa depan.

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, disebabkan keadaan ekonomi global yang semakin meruncing, Pakej Rangsangan Kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran.

Antara golongan sasaran termasuklah para pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sedarhana, pengeksport dan graduan menganggur. Selain itu langkah-langkah yang dirangka bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi juga merangkumi inisiatif membina kapisiti ekonomi jangka panjang.

Semua langkah ini adalah bagi memastikan Malaysia lebih bersiap sedia untuk meraih segera peluang-peluang apabila ekonomi global kembali pulih. Dalam masa yang sama Kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan semua rakyat dibela dan tidak terpinggir daripada mendapat manfaat tersebut.

Semua ini dapat dilihat melalui teras pertama dan kedua yang memberikan tumpuan menyeluruh merangkumi soal memberi latihan, menjaga kebajikan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan serta siswazah yang menganggur serta subsidi tol, gula, roti dan tepung di mana sebanyak RM674 juta diperuntukkan sebagai subsidi tambahan untuk mengelakkan kenaikan harga barang makanan harian tersebut.


[Selanjutnya]