Situasi tersebut sudah pastinya menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat memandangkan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Kesannya kepada ekonomi negara akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban daripada beberapa segi antaranya, kadar inflasi yang tinggi, kenaikan harga barang, penutupan kilang dan pemberhentian pekerja yang akan meningkatkan kadar pengangguran.
Beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan dalam menanggani masalah ini. Dalam usaha memerangi inflasi dan menstabilkan harga, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu langkah-langkah fiskal, kewangan dan pentadbiran.
Melalui langkah fiskal dan kewangan, kerajaan mengambil langkah mengawal cukai bagi barangan tertentu termasuk makanan. Sementara melalui langkah kewangan pula, kerajaan akan mengamalkan dasar kewangan yang berdisiplin bagi memastikan kadar inflasi stabil.
Melalui langkah-langkah pentadbiran pula, kerajaan mengambil beberapa pendekatan, antaranya, menggalakkan persaingan, memperbaiki sistem pengangkutan dan meningkatkan kapisiti pengeluaran makanan.
Kerajaan akan terus menggalakkan persaingan yang lebih sihat antara industri untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi, permodenan teknologi dan daya saing industri dari segi harga produk. Begitu juga dengan sistem pengangkutan yang akan terus diperbaiki dari semasa ke semasa bagi memastikan pengangkutan barangan dan perkhidmatan menjadi cekap dan efisyen. Pembinaan LRT, lebuhraya dan sistem baru keretapi adalah usaha-usaha mengatasi kesesakan. Mengenai makanan, kerajaan menggalakkan peningkatan kapasiti pengeluaran.
Untuk meningkatkan kapisiti pengeluaran makanan pula, kerajaan melalui agensi-agensinya seperti Kementerian Pertanian, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan lkan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan badan-badan berkaitan diberi galakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan.
Menyedari bahawa inflasi boleh menimbulkan kesan buruk kepada perkembangan ekonomi negara, kos sara hidup dan taraf hidup orang berpendapatan rendah, kerajaan telah melaksanakan Kempen Anti Inflasi melalui media cetak dan elektronik untuk meningkatkan kesedaran dan perubahan sikap pembeli supaya mereka boleh mengambil langkah-langkah positif untuk membantu membendung inflasi.
Objektif utama kempen ialah untuk mengurangkan kadar inflasi ke tahap yang paling rendah sehingga mencapai tahap sifar seperti yang dihasratkan oleh YA.B. Perdana Menteri. Kempen ini diasaskan kepada konsep untuk memupuk pemikiran masyarakat supaya membanteras inflasi dengan menggalakkan pengguna supaya membeli barang buatan Malaysia, mengelakkan pembelian tidak dirancang, membeli hanya barangan yang benar-benar diperlukan, menggalakkan para pengguna berjimat cermat dan menabung, mengurangkan pembelian menggunakan kad kredit, elakkan amalan mencatut (profiteering) oleh para peniaga dan menggalakkan pembentukan imej pengguna bijaksana.
Langkah mengurangkan harga barang
Kerajaan telah mengambil langkah mengurangkan harga barang keperluan seperti petrol dan beras selaras dengan pengurangan harga komoditi dunia. Subsidi diesel akan terus diberikan kepada golongan tertentu seperti nelayan kerana bertujuan mengurangkan kos operasi mereka dan secara tidak langsung harga ikan di pasar-pasar. Harga lantai petrol akan ditetapkan dan penjimatan yang kerajaan dapat hasil dari pengurangan subsidi akan disalurkan kepada rakyat. Contohnya pakej rangsangan RM7 bilion yang telah diumumkan kerana penjimatan dari kejatuhan harga minyak.
Bajet mengembang
Kerajaan juga mengamalkan bajet mengembang (expansionary) dan bukannya menguncup demi untuk memasukkan duit ke dalam poket rakyat. Walaupun terpaksa berbelanja melebihi pendapatan dan menaikkan defisit kepada 4.8 peratus, kerajaan melakukannya kerana ia terbaik untuk negara dan rakyat. Menteri Kewangan Kedua telahpun menyatakan 1-2 tahun defisit tinggi tidak menjadi masalah kepada negara. Pada krisis 1997, defisit kerajaan telah mencapai 5.5 peratus.
Penubuhan Jawatankuasa tangani isu pekerja diberhenti
Kerajaan mengambil langkah awal menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menghadapi masalah pemberhentian pekerja oleh majikan di negara ini berikutan krisis ekonomi global. Dua jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Pemberhentian Pekerja dan Jawatankuasa Bantuan Pekerja Yang Diberhentikan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata Jawatankuasa Pemberhentian Pekerja akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung pengurusan pemberhentian pekerja dan langkah yang perlu diambil oleh majikan sewaktu berdepan dengan krisis ekonomi global. Katanya, garis panduan itu akan disediakan sebelum Disember ini dan selain memantau keadaan ekonomi, mereka juga akan membantu mencari pekerjaan bagi pekerja yang diberhentikan kerja tanpa mengira bidang.
Jawatankuasa Bantuan Pekerja Yang Diberhentikan akan berperanan untuk menjaga soal kebajikan pekerja dan merangka beberapa program bagi melatih semula pekerja yang diberhantikan. Latihan akan diberikan menerusia Perbadanan Sumber Manusia berhad (PSMB) dibawah peruntukan RM5 juta dan usaha memohon peruntukan tanmbahan daripada Kementerian Kewangan sedang diusahakan.
Kedua-dua jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Thomas George dan turut diwakili Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), wakil kesatuan sekerja, agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan dengan pekerja serta dijadualkan bermesyuarat setiap bulan. Bagaimanapun, setakat ini tidak ada pembuangan pekerja secara besar-besaran tetapi kerajaan tetap berwaspada dan bersedia.
Mempertingkatkan kemahiran pekerja menerusi latihan semula
Kerajaan akan mempertingkatkan kemahiran kira-kira 750,000 pekerja dalam industri kecil dan sederhana menerusi latihan semula bagi membolehkan industri berkenaan bersaing di pasaran lebih besar dan berdikari. Datuk Dr S. Subramaniam berkata, latihan semula itu yang akan diberikan sebelum hujung tahun ini, akan dibiayai oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia.
Pihak kementerian akan mengenal pasti program latihan sesuai yang bermanfaat kepada golongan pekerja, Daripada 11,396 majikan yang mencarum kepada tabung yang dikendalikan oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB), lebih 70 peratus adalah IKS, katanya. IKS tersebut kebanyakannya adalah daripada sektor pembuatan yang memiliki kurang daripada 150 pekerja dan sektor perkhidmatan yang mempunyai kurang daripada 50 pekerja.
Dalam pada itu, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan enam langkah proaktif yang perlu digerakkan semua agensi dan kementerian bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi terutama tahun depan yang membawa kegelisahan rakyat.
Sambil menyifatkan tahun-tahun akan datang begitu mencabar, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah-langkah itu termasuk berpegang teguh kepada nilai integriti dengan menghapuskan rasuah serta membantu mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui kerajaan ketika ini berusaha memastikan permintaan domestik berada pada tahap setinggi mungkin, menentukan sektor perbankan mempunyai kecairan mencukupi serta menetapkan rangsangan fiskal berjalan mengikut jadual. Tentu sekali kita semua akan terasa beban cabaran yang harus dipikul sebab rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kemelesetan ekonomi.
Keenam-enam langkah proaktif yang perlu dilaksanakan semua agensi dan kementerian adalah seperti berikut:
* Modal keintelektualan mesti diperkukuhkan. Ini bererti segala kepakaran ilmu dan pengkhususan yang berkaitan pengurusan ekonomi dan kewangan negara harus diperkuatkan bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan-keputusan yang tepat dan kena pada tempat serta masanya.
* Perlu menambah tahap efisien daripada peringkat paling asas kepada yang lebih canggih. Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan sebagai agensi pusat juga memberikan khidmat kepada agensi-agensi lain. Oleh itu, jika dapat menyelesaikan sesuatu fail dengan lebih singkat misalnya, maka tahap efisien ini akan tercapai.
* Dalam keadaan dunia yang mencabar hari ini, semua pihak perlu mencerna idea yang lebih inovatif dan kreatif. Untuk mencapainya, mereka tidak boleh lagi memakai cara lama dalam persekitaran sekarang.
* Tidak boleh lagi melihat kerja-kerja yang dilaksanakan semata-mata kerana peruntukan yang diberikan telah dibelanjakan 100 peratus. Sebaliknya, harus menilai dan melihatnya berlandaskan faktor penghasilan kerja.
*Perlu memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang dihasilkan termasuk dibelanjakan benar-benar membawa nilai ringgit kepada kerajaan.
*Hindari rasuah dan terus berpegang kepada nilai-nilai integriti.
5 comments:
Ekonomi malaysia dan keadaan global amat membimbangkan sekarang.Harap dapat dilihat tindakan efektif di ambil oleh kerajaan.Tidak adil bagi kakitangan swasta menghadapi masalah dibuang kerja tanpa bantuan kerajaan.Harap ditambah usaha kerajaan seperti penjodohan kerja perlu digiatkan.Masih belum cukup..masih ramai menagih kerja..
Saudara Insurance financial man,
Kerajaan telahpun buat apa yang patut untuk rakyat, banyak langkah telah di ambil, tak bermaksud ramai menagih kerja, tiada langkah di ambil.
Betul pokjat,sangat setuju, begitu banyak usaha kerajaan dalam memeberikan peluang dan lubang untuk rakyat mendapatkan kerja.Lihatlah website portal kerja yang wujud,interview terbuka dan juga jawatan kontrak dalam kementerian diwujudkan.Semua ini bukan langkah kerjaan kah?
boleh terangkan lagi,walaupun kerajaan telah banyak melancarkan pelbagai langkah untuk mengatasi kemelesetan ekonomi,kenapa harga barang kawalan contohnya gula semakin naik?
salam.....
saya kurang bersetuju...
walaupun web telah dbuat untuk memohon kerja kerajaan...namun hakikatnya tidak semua yg terpilih untuk pekerjaan itu....bgaimana dgn yg lain...
respon...........
Post a Comment