Sudah sampai masanya golongan nelayan tradisional mengubah hala tuju untuk bersaing dengan lebih kompetatif untuk menambah pendapatan dengan tidak hanya bergantung kepada bot-bot kecil dan ada kalanya tidak mendatangkan hasil tangkapan yang memuaskan.
Mungkin selama ini golongan nelayan pantai ini tidak pernah terfikir mereka sebenarnya mampu untuk menjana pendapatan yang lebih besar jika mereka memanfaatkan sepenuhnya pinjaman di bawah dana nelayan yang diwujudkan oleh kerajaan Pusat.
Melalui pinjaman tersebut, mereka boleh memiliki bot yang lebih besar mencecah harga RM350,000 sebuah melalui kaedah berkongsi memohon pinjaman di bawah dana tersebut. Ketika ini kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah meluluskan peruntukan pinjaman tambahan daripada RM30,000 kepada RM70,000 kepada setiap nelayan.
Bermakna jika mereka berkongsi antara tiga hingga lima orang membuat pinjaman, mereka mampu membeli bot yang lebih besar dan canggih berharga antara RM210,000 hingga RM350,000. Ia bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan mereka menangkap ikan dengan lebih jauh sehingga dua hingga tiga hari tetapi juga mampu menambah pendapatan bertepatan dengan transformasi nelayan bagi mengubah taraf hidup mereka.
Nelayan tradisional perlu merebut peluang yang terbuka luas ini memandangkan ia adalah antara kaedah terbaik yang diusahakan oleh kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka. Paling penting ialah untuk membolehkan mereka lebih kompetetif tanpa terus bergantung kepada bantuan kerajaan.
No comments:
Post a Comment