Monday, December 1, 2008

Hak Pengguna: Sejauh Mana Kesedaran Kita?

Sejak Ogos lalu, harga minyak mengalami penurunan sebanyak lima kali selaras dengan penurunan harga bahan bakar itu di pasaran dunia yang kini jatuh di bawah AS$50 setong. Terbaru, harga bahan bakar itu sekali ,mengalami penurunan. Harga minyak di pasaran tempatan kini berada pada kadar RM1.90 seliter bagi petrol dan RM1.80 seliter bagi disel. Ia memang banyak memberi manfaat dan kelegaan kepada rakyat. Tetapi yang menjadi masalah besar dan bermain-main di fikiran kita ketika ini ialah, penurunan harga minyak nyata tidak mendatangkan banyak kesan kepada harga barangan keperluan yang rata-rata masih tinggi?

Jika sebelum ini peniaga memberi alasan kenaikan harga minyak memaksa mereka menaikkan harga barang bagi menampung kos, kita tidak punya pilihan dan akur dengan tindakan tersebut. Tetapi mengapa ketika kerajaan menurunkan harga minyak tidak pula disusuli oleh peniaga untuk menimbang menurunkan semula harga barangan di pasaran? Walaupun ada usaha dibuat oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan peruncit-peruncit besar untuk menurunkan harga barangan keperluan, ia hanya menyelesaikan sebahagian daripada masalah tetapi tidak memberi kesan yang menyeluruh terutama kepada golongan sasaran sebenar – golongan berpendapatan rendah.

Jika ditinjau, rata-rata barangan keperluan rata-rata masih mahal. Kita kena mengakui hakikat tentang harga barangan keperluan di negara ini yang sukar untuk dikawal dan sekali ia dinaikkan adalah amat sukar untuk harga tersebut diturunkan kembali ke paras asal malah jauh sekali untuk menjadi lebih murah. Apabila keadaan ini berlaku, satu persoalan timbul. Jika peniaga memberikan alasan bahawa harga barangan bergantung sepenuhnya kepada turun dan naik harga minyak, apakah mereka bersedia untuk memenuhi komitmen tersebut jika harga minyak turun atau kembali ke paras harga asal? Persoalan ini lah sebenarnya yang menghantui pengguna terutama dalam menghadapi kesukaran ekonomi akibat kelembapan ekonomi global ketika ini.

Apabila ini berlaku, ramai di kalangan kita sebagai pengguna mengaitkannya dengan sikap degil dan ketamakan peniaga. Sehingga ada pihak yang menganggap ia berpunca daripada penguatkuasaan oleh pihak kementerian yang tidak tegas dan lemah serta bermusim sehingga peniaga tidak langsung berasa takut dan bebas untuk menentukan dan mengawal harga di pasaran. Ada juga pihak yang menyarankan agar pihak kementerian mengkaji semula harga barang keperluan yang dinaikkan dengan tidak hanya menumpukan kepada barangan yang diletakkan di bawah kawalan tetapi memperluaskan lebih banyak barang di bawah senarai barangan keperluan yang dikawal harganya.

Memboikot peniaga adalah antara cadangan yang dibangkitkan. Tetapi apakah dengan tindakan tersebut mampu menyelesaikan masalah? Dan sejauh mana pula pengguna bersedia untuk memberikan kerjasama? Biasanya, pembeli hanya merungut tentang harga tetapi masih membeli dan kebiasaanya peniaga tidak akan menjual barangan keperluan dengan harga yang tinggi jika tiada pembeli yang sanggup membayar. Di sini lah pentingnya peranan kita sebagai pengguna. Perlu bijak untuk membuat perbandingan harga dan mengelak untuk membeli daripada peniaga yang enggan berkerjasama.

Jika pendekatan ini diambil dan adanya kerjasama di kalangan pengguna, tentunya peniaga tidak mempunyai pilihan untuk menurunkan harga barangan. Paling penting ialah kesedaran kita sebagai pengguna. Tetapi sejauh mana sebagai pengguna, kita tahu atau faham tentang hak-hak kita?
Mungkin selama ini kita tidak dididik dengan isu-isu kepenggunaan dalam kehidupan seharian terutama tentang soal kesedaran dan hak kita. Akta Perlindungan Pengguna juga tidak menjadi asas kesepaduan masyarakat kerana mereka tidak mengerti sejauh mana hak yang ada pada mereka. Keprihatinan masyarakat terhadap hak ini masih lagi di tahap yang rendah. Masyarakat sendiri tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan pendidikan pengguna secara sempurna. Memang tidak dinafikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mendedahkan pendidikan pengguna kepada masyarakat.

Tetapi masalah yang dihadapi adalah pendedahan itu hanya tertumpu kepada pengurusan perbelanjaan yang bijak sahaja. Sedangkan banyak lagi yang perlu diberikan penekanan untuk menjadikan pengguna negara ini bukan sahaja matang, bijak tetapi tahu serta faham tentang hak-hak mereka sebagai pengguna. Isu-isu kepenggunaan di negara ini jelas masih dihambat oleh budaya kepenggunaan yang tidak sihat seperti pembaziran, tidak mementingkan keselamatan produk, boros dan berhutang, ditipu, terbeli barangan tiruan atau rosak dan sebagainya.

Seperti yang pernah dinyatakan oleh Presiden Pengguna Pulau Pinang (CAP), konsep kepenggunaan bukan hanya berada dalam lapan hak asas pengguna sahaja tetapi melangkaui perkara-perkara lain termasuklah termasuklah budaya pengguna, gaya hidup dan kebendaan. Malah beliau yakin sebahagian besar masyarakat tidak mengerti hak kepenggunaan ini secara terperinci untuk diadaptasikan dalam kehidupan seharian. Dalam buku Panduan Pengguna keluaran KPDNHEP menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan lapan hak ini. Seharusnya buku manual Panduan Pengguna ini perlu ada bagi setiap individu dari semua peringkat masyarakat. Lebih berkesan jika pendidikan ini ditanamkan di awal usia kanak-kanak lagi dalam cara atau bentuk yang mudah mereka fahami.

Masyarakat seharusnya sedar betapa pentingnya pendidikan pengguna agar kita menjadi pengguna yang bijak. Pendidikan pengguna bukanlah satu pendidikan yang ada penamatnya. Selagi kita digelar pengguna, kita perlu belajar untuk mengetahui hak kita. Sebagai pengguna, tingkah laku kita sebenarnya boleh mempengaruhi harga barangan keperluan. Malah pengguna seharusnya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menentukan harga barangan di pasaran.

Jika kita benar-benar faham akan hak-hak kita dan bersedia untuk menggunakannya, perkara ini boleh diatasi. Turun naik harga barangan di pasaran hari ini sebenarnya berlaku kerana kita sendiri membenarkan dan membiarkan ia berlaku kerana kita tidak faham atau gagal untuk menggunakan hak-hak kita sebagai pengguna.

4 comments:

Zikri Husaini said...

Setuju. kalau nak boikot, kena buat kempen besar-besaran. Pengaruh media massa, elektronik...dan dari semua pihak...tidak semestinya dari pihak bekerwajipan seperti kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini.

Anonymous said...

saya perhatikan kebelakangan ini peniaga kita semakin tamak dan sombong. Kita pula sebagai pengguna ikut sahaja tindak tanduk mereka. Sebagai pengguna, kita kena ajar mereka. Boikot mana-mana peniaga yang jual barang mahal dan kita kena bijak buat perbandingan harga.

Anonymous said...

sori to say la...artikel ni masih x update lg la..kan hrga minyak da trun dari RM2 ke RM1.90 dan telah berkuat-kuasa pada 3 dis 2008.plz, check it out ! !

Bagi saya tentang harga barang yang tidak turun-turun walaupun harga minyak sudah berkali-kali turun adalah isu yang tidak akan selesai sampai bile2 !

Keputusan terletak di tangan kita sebagai PENGGUNA! kita yang menentukan untung rugi seseorang peniaga. Justeru itu, tepuk dada tanyalah selera... tak payahlah nak kecoh-kecoh harga barang naik lah ape lah...agak-agak x mampu nak makan minum kat luar x payah la..nak makan minum balik rumah jek..bawak bekal g keje ke..duit pun jimat..kesihatan terjamin..hubungan sesama keluarga pun semakin erat !

Kepada Para Peniaga,
Sukati korang la nak naikkan harga barang sampai bape persen pun... tak kemana pun bisnes korang tu..jangan sampai korang gulung tikar sudah...pengguna tak sebodoh yang korang sangkakan !

Anonymous said...

harga minyak dah turun tapi bila kita lihat harga barangan masih lagi tidak turun... sampai bila kedaan begini akan terus berlaku. kalu minyak harga minyak naik bukan main cepat lagi nak naikkan harga barangan... siap bole sork-sorok stok lagi....ingatlah wahai pemborong dan peruncit rezeki ini diberi oleh Allah s.w.t