Wednesday, November 12, 2014

GMSN Beri Pemahaman Lebih Baik Tentang Malaysia Di Universiti Australia




Pusat Rangkaian Pengajian Global Malaysia di Australian National University (GMSN@ANU) dilancar di sini, Rabu sambil Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan harapan pusat berkenaan akan memberi pemahaman yang lebih baik tentang Malaysia.


Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata GMSN@ANU akan menjadi platform penting bagi para sarjana dalam bidang pengajian tentang Malaysia untuk menjalankan kajian menyeluruh dan memberi maklumat yang seimbang tentang politik, ekonomi dan masyarakat Malaysia.


"Saya percaya penyelidikan akademik yang bebas, objektif dan mendalam tentang pelbagai aspek kehidupan politik dan sosial akan membantu masyarakat antarabangsa memahami lebih baik tentang Malaysia dan mengelak sebarang pandangan serong terhadap negara kita," katanya.




Muhyiddin berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Australian National University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali gus menandakan pelancaran GMSN@ANU di Australian University di sini, Rabu.


Acara ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari Muhyiddin di Canberra dan Perth sehingga esok.


Muhyiddin mengumumkan kerajaan Malaysia melalui UKM akan menyumbang AUD150,000 (RM436,500) setiap tahun kepada GMSN@ANU selama lima tahun untuk menyediakan dana penyelidikan dan kerjasama akademik lain dalam bidang pengajian tentang Malaysia.


Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, sebagai rakan sejawat Malaysia untuk GMSN@ANU juga akan menerima sebanyak RM500,000 setiap tahun daripada kerajaan Malaysia.


Disaksikan Muhyiddin, MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor dan Presiden ANU Prof Ian Young, Dekan Kolej ANU bagi Asia dan Pasifik Prof Veronica Taylor, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengarah KITA Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.


Muhyiddin berkata beliau gembira melihat penubuhan sebuah program khas tentang pengajian Malaysia, yang beliau bincangkan dengan Young dan Dr John Funston, seorang ahli akademik terkemuka, semasa lawatannya ke ANU pada 2011, kini menjadi realiti.


Beliau menjelaskan, berbanding mencipta sebuah program kursi Pengajian Malaysia, penubuhan GMSN@ANU ini, mungkin pilihan lebih baik.


Muhyiddin berkata telah terdapat banyak kursi atau program Melayu atau Pengajian Malaysia sama ada di dalam atau luar Malaysia yang berdikari, lazimnya entiti yang tidak berkesinambungan.


Justeru, beliau berkata ia perlu mempunyai hubungan dan cara terbaik melakukannya adalah melalui sebuah 'rangkaian', seperti sebuah penyelidikan akademik dan entiti eksekutif advokasi awam.


"Saya berharap GMSN@ANU, dengan kerjasama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, bukan sahaja menjadi tumpuan Pengajian Malaysia di Australia tetapi juga di peringkat global, yang mana sebuah kursi atau program tidak boleh atau tidak akan dapat mencapai untuk jangka masa lama," katanya.


Muhyiddin berkata konsep rangkaian dalam bentuk cadangan GMSN@ANU ini mempunyai potensi besar untuk menjadi 'pengubah permainan' Pengajian Malaysia dalam konteks global.


"Mungkin ramai yang ingin untuk menerima pakai model ANU ini sebaik sahaja ia berjaya," katanya menambah rangkaian berkenaan jauh lebih murah, lebih berkesan dan mudah untuk mengekalkan secara organisasi yang mempunyai kelebihan berkembang dengan cepat, apabila diperlukan.


GMSN@ANU katanya, boleh berguna sebagai penghubung atau jambatan dalam pengajian Malaysia iaitu, pertamanya, penyelidikan akademik dan sokongan awam dan keduanya penyelidikan gunaan, dasar serta amalan.


Muhyiddin berkata ini bukan hanya untuk sektor awam dan swasta tetapi juga untuk sektor masyarakat yang sering diabaikan, diwakili oleh badan bukan kerajaan dan masyarakat awam.


Beliau juga menghargai sumbangan Dr Shamsul Amri dan pasukannya dalam menjaya dan merealisasikan projek berkenaan.

No comments: