Wednesday, April 2, 2014

PNB perkenal ASB 2, sasar Gen-Y

ROZZANA Azni, 26, menunjukkan replika buku akaun yang diterimanya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancaran Amanah Saham Bumiputera 2 di pekarangan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyasarkan produk terbaharunya, Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), kepada golongan Bumiputera, terutama golongan muda ataupun 'Gen-Y'.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata produk tersebut turut memberi keutamaan kepada pemegang-pemegang unit ASB yang telah mencapai 200,000 unit serta ingin mempelbagaikan dan meningkat pelaburan mereka di dalam tabung unit amanah ASNB.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah membuat pengumuman mengenai pelancaran ASB 2 dengan saiz 10 bilion unit, sebagai usaha memperkasa ekonomi masyarakat Bumiputera melalui peningkatan pegangan ekuiti mereka di dalam sektor korporat menerusi tabung unit amanah.




Ciri-cirinya dikekalkan seperti ASB oleh kerana ciri-ciri tersebut telah teruji dalam pelbagai persekitaran ekonomi dan terbukti kejayaannya.

"Jumlah terhad kepada 10 bilion unit yang dilancarkan juga adalah bersesuaian dengan suasana ekonomi semasa setelah mengambil kira saiz tabung-tabung unit amanah PNB yang lain," kata Hamad Kama Piah dalam ucapannya sempena taklimat produk terbaharu itu baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk membina negara dan bangsa yang makmur pada masa depan, generasi pelapis masa kini iaitu Gen-Y, berumur 19 hingga 34 tahun, perlu dilengkapkan dengan nilai etika yang baik, jati diri dan juga ilmu pengetahuan yang dapat membantu mereka berdepan dengan cabaran (hidup/ekonomi dan sebagainya) pada masa depan.

"Kumpulan ini perlu diberi pengetahuan, disalurkan maklumat tepat, diberi pendidikan agar mereka boleh membuat pilihan bijak.
"Inilah yang dilakukan oleh PNB/ASNB, di mana kita sediakan platform pendidikan pelaburan untuk mereka dan seluruh rakyat Malaysia amnya," kata beliau sambil menambah bahawa PNB berharap agar golongan muda akan memilih ASB 2 sebagai instrumen utama pelaburan mereka dan menjadikan pelaburan ASB 2 sebagai gaya hidup.

Beliau berkata, setakat ini, penyertaan Gen-Y dalam produk-produk ASNB pada 28.1 peratus, daripada jumlah keseluruhan profil pemegang unit ASNB, manakala baki selebihnya dipegang oleh profil pemegang unit berumur 40 tahun ke atas dan juga ibu bapa atau penjaga kepada bayi berumur enam bulan hingga 18 tahun.

"PNB berharap dengan kemunculan ASB 2 ini, lebih ramai golongan muda yang mengambil kesempatan untuk melabur dan secara tidak langsung menambah jumlah peratusan bagi segmen Gen-Y," katanya.

PNB bakal meluaskan pendekatannya dengan golongan ini melalui pelbagai saluran elektronik seperti facebook, instagram dan twitter, di samping media konvensional.

Setakat Februari 2014, sejumlah 184.86 bilion unit telah dilanggan oleh 11.81 juta pemegang unit, dengan 89 peratus adalah Bumiputera dan selebihnya bukan Bumiputera.

Peningkatan unit-unit amanah tahun demi tahun telah menyumbang terhadap peningkatan ketara jumlah aset di bawah pengurusan PNB yang bernilai hampir RM268 bilion (setakat Disember 2013), hasil pelaburan orang ramai dan dana proprietary milik PNB sendiri.

No comments: