Thursday, December 10, 2009

Lebih banyak produk IKS masuki pasar raya besar

Kekangan dan kesukaran produk yang dihasilkan oleh pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasuki pasar raya-pasar raya besar sedikit sebanyak menyukarkan pengusaha IKS untuk memasarkan barangan keluaran mereka. Banyak alasan yang diberikan. Barangan tidak berkualiti, kaedah pembungkusan yang tidak sesuai dan menarik serta gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan merupakan antara faktor yang menyekat kemasukan produk IKS ke dalam pasar raya besar asing dan tempatan di negara ini.

Persepsi yang silap ini seharusnya diubah kerana sudah banyak usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mempertingkatkan produk yang dihasilkan oleh pengusaha IKS. Kebelakangan ini jika dilihat sudah banyak produk yang dihasilkan oleh pengusaha IKS diterima baik di pasaran tempatan malah sebahagiannya mendapat permintaan tinggi di pasaran luar negara. Ini membuktikan produk yang dihasilkan oleh pengusaha IKS bukan sahaja bermutu tetapi juga berjaya memenuhi kehendak pasaran.


Ketika ini hanya tujuh peratus produk IKS berjaya memasuki pasaran pasar raya besar milik pengusaha asing dan tempatan di negara ini. Jumlah tersebut masih kecil jika dibandingkan dengan kepelbagaian produk yang dihasilkan. Oleh Sasaran 30 peratus yang ditetapkan oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), untuk membolehkan produk IKS memasuki pasaran pasar raya besar ini bukan sahaja mampu membuka ruang yang lebih luas kepada pengusaha IKS tetapi juga membantu merancakkan lagi perkembangan industri IKS di negara ini.

Langkah Kerajaan itu juga bertujuan untuk memastikan produk IKS tidak terpinggir berbanding produk dari jenama terkemuka. Daripada segi mutu produk IKS tidak banyak berbeza berbanding produk berjenama lain malah sebahagiannya jauh lebih baik. Yang menjadi masalah mungkin daripada segi mutu pengeluaran dan pembungkusan yang tidak mencapai standard yang ditetapkan.

Perkara tersebut boleh diatasi jika kedua-dua belah pihak saling bekerjasama. Apa yang lebih penting di sini adalah kesedaran pengusaha IKS untuk terus berusaha meningkatkan kualiti pengeluaran dan pembungkusan agar mencapai standard yang ditetapkan oleh pasara raya berkenaan. Pengusaha IKS bukan sahaja perlu lebih kreatif dalam menghasilkan produk tetapi juga sentiasa memastikan setiap yang dihasilkan diterima dan memenuhi kehendak pasaran.

Usaha KPDNKK menjalin kerjasama dengan pengusaha pasar raya besar melalui Program Suaian Perniagaan antara IKS bersama Pasar Raya Besar Asing dan Tempatan, adalah langkah awal yang bakal menjadi platform terbaik kepada kedua-dua belah pihak terutama pasar raya besar untuk melihat dan menilai sendiri produk yang dihasilkan oleh pengusaha IKS. Ia juga diharap mampu mengkis sikap prejudis mereka terhadap barangan IKS.

Kesediaan pasar raya besar memberi ruang kepada barangan pengusaha IKS bukan sahaja membantu pengusaha IKS tetapi juga memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan buatan Malaysia pada harga yang lebih kompetitif – seterusnya mengelakkan kebergantungan kepada produk dari luar. Paling penting mampu menjana ekonomi domestik secara lebih berkesan.

No comments: