Tuesday, November 18, 2008

Membantu Golongan Miskin Melalui Jaringan Keselamatan Sosial

Sebahagian besar rakyat agak kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan Jaringan Keselamatan Sosial yang menjadi dasar Bajet 2009 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Secara umum Jaringan Keselamatan Sosial boleh didefinasikan sebagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk kepentingan masyarakat meliputi kebajikan, perubatan dan kadang kala subsidi kepada pengangkutan awam.

Ia berperanan membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin menghadapi cabaran inflasi. Dalam ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan sumber kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat serta membantu mengatasi kemiskinan dalam jangka masa pendek.

Ketiadaan Jaringan Keselamatan Sosial begitu dirasai oleh masyarakat namun kesan tersebut lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan miskin termasuk vulnerable group seperti warga emas, ibu tunggal dan golongan kurang upaya. Selaras dengan itu, kerajaan telah merangka satu Jaringan Keselamatan Sosial yang komprehensif bagi mengurangkan impak terhadap golongan berpendapatan rendah dan golongan miskin akibat kenaikan inflasi dan kelembapan ekonomi seperti yang kita alami hari ini. Langkah tersebut membuktikan kepetrihatinan rakyat terhadap kesulitan yang ditanggung rakyat ekoran kenaikan mendadak harga bahan bakar dan barangan keperluan lain.

Antara sumbangan utama kerajaan untuk memastikan rakyat terbela melalui skim Jaringan Keselamatan Sosial ini adalah melalui langkah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuik Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah. Ketika ini terdapat dua skim bantuan utama di bawah Jabatan kebajikan Masyarakat iaitu Skim Bantuan Persekutuan dan Skim Bantuan Am Negeri.

Skim Bantuan Persekutuan diberi secara bulanan di bawah skim Bantuan Orang Tua (berusia 60 tahun ke atas) dan Bantuan Kanak-Kanak (di bawah usia 18 tahun). Memandangkan skim ini hanya menjurus kepada golongan tertentu dan tidak menyeluruh, golongan yang tercicir seperti ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya akan dibantu melalui Skim Bantuan Am Negeri. Memandangkan bantuan di bawah skim ini jauh lebih rendah berbanding Skim Bantuan Persekutuan dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penerima, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan satu skim bantuan baru berasaskan keluarga di peringkat Persekutuan bagi mengatasi masalah tersebut.

Skim Bantuan Asas Keluarga yang diperkenalkan akan mengguna pakai pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa sebagai syarat asas pertimbangan. Di bawah skim tersebut seramai 109,928 isi rumah miskin akan dibela di bawah skim Jaringan Keselamatan Sosial yang baru ini berbanding dengan 22,848 isi rumah yang kini menerima bantuan terdiri dari golongan berpendapatan di bawah RN400 sebulan.
Skim Bantuan Asas Keluarga ini akan memberikan bantuan sebanyak RM100 seorang sebulan sehingga maksimum RM600 sekeluarga sebulan yang diberikan mengikut saiz isi rumah (meliputi ibu, bapa dan anak dalam satu keluarga asas).

Antara kriteria yang melayakkan mereka berada di bawah skim ini merangkumi:

1.Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia.

2.Pendapatan isi rumah di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa.

3.Ketua isi rumah (pencari nafkah) menghadapi masalah kesihatan, kecacatan dan kehilangan pendapatan secara mendadak, tidak mempunyai pendapatan tetap serta masalah lain yang boleh menjejaskan fungsinya sebagai penyara keluarga.

4.Ibu atau bapa tunggal yang tidak berkemampuan menyara keluarga dan perlu menjaga kanak kanak; atau

5.Individu yang tinggal berseorangan, tidak mampu menyara diri sendiri dan berusia di bawah 60 tahun.

Bagaimanapun, semua kes akan dirujuk terlebih dahulu untuk dipertimbangkan selain perlu melalui proses sissatan (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan sebelum bantuan diluluskan. Ia diberi untuk tempoh 12 bulan dan dalam tempoh tersebut bantuan akan dikaji semula bagi menentukan sama ada bantuan itu diteruskan atau dikaji semula.

Pemberian bantuan secara sementara ini adalah selaras dengan konsep kebajikan produktif (productive welfare) yang dihasratkan oleh kerajaan. Sepanjang tempoh bantuan itu juga penerima bantuan akan diberi latihan kemahiran untuk meningkatkan kemajuan diri. Selain itu penerima bantuan juga akan diberi pinjaman modal dan peluang-peluang untuk memulaklan perniagaan.

Di bawah Jaringan Keselamatan Sosial lainnya termasuklah usaha berterusan untuk membasmi kemiskinan di mana sejumlah RM50 juta disediakan di bawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih 1,000 lainnya. Usaha berterusan juga dilakukan untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup penduduk di sabah dan Sarawak, terutama untuk meningkatkan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar Bandar. Sejumlah RM580 juta disediakan bagi Sabah dan RM420 juta bagi Sarawak.

Lainnya termasuklah mengecualikan bayaran bil elektrik RM20 sebulan ke bawah berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Begitu juga dengan rebet cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Dengan itu seramai 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah tidak lagi dikenakan cukai.

Di bawah jaringan Keselamatan Sosial ini juga golongan petani dan nelayan juga diberikan pembelaan di mana sejumlah RM300 juta diperuntukkan. Sejumlah RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Bagi meningkatkan kehidupan petani juga, elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik. Selain peruntukan sejumlah RM475 juta bagi bantuan imput pertanian, baja dan racun perosak bagi pengusaha sawah.

[Selanjutnya]

Monday, November 10, 2008

RM7 Bilion Untuk Rangsang Ekonomi

Mengambil kira senario ekonomi global yang lembab ketika ini, pengumuman pakej rangsangan ekonomi RN7 bilion oleh kerajaan menjadi pelengkap kepada Bajet 2009 sebelum ini. Peruntukan hasil daripada penjimatan subsisi minyak tersebut merupakan langkah proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global semasa sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Lebih penting adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan langkah tambahan tersebut menganggap, penjimatan sebanyak RM7 bilion itu merupakan satu rahmat untuk diagihkan kepada rakyat di samping dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang akan memberi kesan positif seperti dalam sektor pembinaan, perumahan, pengangkutan, pelaburan, latihan dan teknologi maklumat. 

Untuk memastikan ke semua langkah tambahan tersebut boleh digerakkan dengan segera, kerajaan turut menubuhkan Unit Pengurusan Projek di bawah Kementerian Kewangan bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi ke arah memastikan perlaksanaannya cekap dan berkesan.

Pakej rangsangan tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan untuk terus mengamalkan dasar yang bersifat mengembang ketika ekonomi dunia dalam keadaan menguncup. Suntikan dana tambahan ini juga bertujuan untuk memastikan ekonomi negara tidak dihimpit kemelesetan sebaliknya berkembang pada landasannya. 

Dalam melaksanakan dasar fiskal yang mengembang ini, kerajaan akan menyemak semula projek-projek besar yang telah dirancang yang tidak terlalu mendesak dan pada masa yang sama memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah. Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak akan menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2009 sebelum ini.

Dengan adanya pakej rangsangan ini sekurang-kurangnya memberi satu kelegaan kepada orang ramai sekali gus menjawab segala keraguan, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanggani keadaan ekonomi global yang lembab ketika ini? 

Antara intipati pakej tersebut ialah:

Caruman KWSP
Kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela sebanyak 3 peratus selama dua tahun mulai 1 Januari 2009.

Pinjaman Kenderaan
Bagi gred JUSA, had kelayakan pinjaman kereta dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000.
Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000.
Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000.

Pendidikan/Latihan
RM200 juta untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur satu hingga enam tahun.RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah iaitu RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk "mission school", RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta untuk SJK Tamil.Sebanyak RM200 juta bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum.

Jalan/Pengangkutan
RM500 juta untuk membina, menaik taraf jalan di luar bandar, jalan kampung dan jalan pertanian termasuk di Sabah dan Sarawak.RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandar utama.

Peniaga Kecil
Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit.

[Selanjutnya]