Kebelakangan ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hangat diperkatakan apabila berbagai pihak memberikan pandangan sama ada akta tersebut perlu dihapuskan atau dikaji semula. Malah isu tersebut jugalah yang menyebabkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan kerana mempertahankan kenyataan beliau ISA perlu dikaji semula.
Pelbagai alasan dibangkitkan. Antaranya, akta tersebut tidak lagi dianggap relevan dan melanggar hak asasi manusia. Semua ini berpunca daripada timbulnya rasa tidak puas hati segelintir rakyat negara ini terhadap penahanan seorang wartawan, seorang ahli politik dan seorang penulis blog baru-baru ini.
Rasional ISA mula dipersoalkan dan elemen utama yang menjadi tonggak kenapa akta tersebut diwujudkan juga tidak lagi diambil peduli. Semuanya berkisar tentang kebebasan bersuara. Kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi mereka tidak sedar apa yang mereka suarakan ibarat mencurah minyak ke dalam api.
Malangnya ISA yang dianggap sebagai satu undang-undang yang baik, kerap kali disalah ertikan dan dijadikan mainan politik pihak berkepentingan. Sejak diperkenalkan pada 1960 sebagai undang-undang pencegahan bertujuan untuk membanteras kegiatan subersif komunis, ISA memberi impak yang begitu besar kepada keamanan, kemakmuran dan pembangunan negara. Dakwaan ISA sudah ketinggalan zaman tidak tepat kerana akta tersebut sudah melalui pindaan dan prosedurnya juga sudah banyak berubah berbanding peringkat awal ia dilaksanakan.
ISA yang bersifat sebagai akta pencegahan kini turut digunakan oleh negara-negara Barat dalam bentuk dan perlaksanaan yang berbeza-beza. Amerika Syarikat (AS) umpamanya yang selama ini adalah pengkritik ISA juga mempunyai akta pencegahan yang dikenali sebagai Akta Patriot yang digubal selepas kejadian serangan 11 September 2001. Begitu juga Britain yang mempunyai Akta Anti Pengganas. Kebanyakan negara kini mula melihat kepentingan untuk mencegah sebelum sesuatu perkara yang timbul sukar dikawal sehingga menganggu gugat kepentingan dan keselamatan negara.
Di sebahagian besar negara-negara yang tidak mempunyai akta pencegahan seperti India dan Indonesia, masalah keganasan sehingga menggugat ketenteraman awam dan kestabilan negara menjadi satu ancaman yang tidak ada kesudahannya. Berdasarkan situasi sebeginilah kerajaan melihat kewajaran untuk ISA dipertahankan walaupun ada suara-suara ingin akta tersebut dimansuhkan sama sekali atau dipinda mengikut kesesuaian masa dan keadaan.
Pengalaman yang Malaysia lalui dan apa yang berlaku di negara-negara lain meyakinkan kerajaan bahawa ISA masih relevan terutama untuk menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam. Ini kerana penahanan di bawah ISA sebagai satu langkah tindakan cepat untuk mengelak sesuatu kejadian menjadi lebih buruk sehingga sukar dikawal.
Dalam soal ini, ISA perlu dilihat sebagai satu usaha untuk melindungi kepentingan umum dan negara. Sebarang cubaan untuk menghapuskan atau melakukan pindaan perlu diperhalusi tanpa menjejaskan matlamat sebenar akta tersebut diwujudkan. Cadangan-cadangan dan desakan yang ditimbulkan kebelakangan ini jelas lebih kepada kepentingan politik pihak tertentu – menggunakan isu tersebut untuk meraih sokongan rakyat. Sedangkan hakikatnya, sebahagian besar rakyat tidak begitu memahami kenapa ISA diwujudkan dan kenapa ia perlu dipertahankan?
ISA merupakan pendekatan yang paling berkesan untuk mencegah dan bukan mengambil tindakan selepas ancaman berlaku. Ia lebih menitikberatkan soal atau aspek keselamatan negara dan ketenteraman awam mengatasi kepentingan mana-mana individu. Malah ISA juga merupakan asas kepada pembinaan negara serta penting dalam memastikan keamanan terus terpelihara.
Namun disebalik segala kebaikan itu, masih ramai yang melihat atau mengaitkan ISA dengan ketidakadilan dan wujudnya campurtangan politik. Sedangkan majoriti rakyat beranggapan sebaliknya. Majoriti yang menyokong bukan bersandarkan kepada isu kaum, budaya, agama atau kepentingan mana-mana individu yang ditahan tetapi lebih kepada rasa takut tercetusnya pergaduhan dan perselisihan yang boleh memporak perandakan negara.
Kesannya cukup besar. Ketidakstabilan politik berkait rapat dengan ekonomi sesebuah negara. Ketidakstabilan politik akan menjauhkan pelabur. Asas pembentukan Malaysia berbeza dengan negara-negara lain. Situasi semasa, isu-isu sensitif yang dibangkitkan boleh menimbulkan kegelisahan dan kemarahan kaum. Kita perlu menerima hakikat berada dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan, masih banyak sensitiviti yang perlu dipelihara dan dikawal supaya tidak menjadi konflik terbuka seterusnya menjerumuskan negara ke kancah huru-hara dan ketidakstabilan.
Apa pandangan anda dalam soal ini?
4 comments:
I.S.A perlu ada kerana nak menjaga keselamatan negara supaya menjadi aman dan damai
ISA adalah undang2 pencegahan....tolong faham sikit ape itu PENCEGAHAN atau PREVENTION
I.S.A ni bagus kalo membawa kebaikan tetapi tak bagus kalo disalah gunakan dan membawa keburukan sama ada kepada seseorang individu, agama, bangsa dan negara...
ISA perlu ada dimana rakyat tidak boleh melakukan sesuka hati.ini kerana tahap keselamatan negara adalah tanggungjawab kita bersama. jd kepada yang pro pembangkang tu jgnlh bertindak sesuka hati coz tindakkan anda akan memudaratkan diri serta orang ramai.negara kita adalah sebuah negara yang aman jd kenalkan keamanan tersebut.
Post a Comment