Tuesday, October 7, 2008

Penurunan Harga Minyak : Perlu Dilihat Daripada Sudut Positif

Selari dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia yang kini berada sekitar AS$109 berbanding AS$140 pada Mei lalu, kerajaan mengambil langkah menurunkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 sebanyak 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter berkuat kuasa 26 September ini.

Pada masa sama, harga runcit diesel juga dikurangkan 10 sen iaitu daripada RM2.50 seliter kepada RM2.40 seliter. Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira harga purata minyak dunia sebulan terakhir ini yang mengalami penurunan yang ketara. Ini merupakan langkah pelarasan yang kedua dibuat oleh kerajaan sejak 23 Ogos lalu. Bermakna, dalam tempoh tiga bulan lalu kerajaan telah menurunkan harga petrol sebanyak 25 sen seliter.

Walaupun rakyat menaruh harapan tinggi agar kerajaan menurunkan harga minyak kepada satu paras 'munasabah', seiring dengan aliran penyusutan harga minyak dunia, pengurangan sebanyak 10 sen tersebut adalah nilai pengurangan maksimum yang mampu diberi oleh kerajaan pada masa ini. Ini kerana langkah tersebut dibuat dengan mengaplikasikan formula yang diguna pakai oleh kerajaan dalam menentukan harga minyak sebelum ini.

Langkah penurunan harga minyak ini sekali gus diharap dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat yang akan pulang menyambut Aidilfitri hujung bulan ini.

Dengan penurunan sebanyak 10 sen ini, golongan peniaga diharap akan berlaku lebih adil dalam urusan jual beli. Alasan kenaikan harga minyak sebelum ini memaksa mereka untuk menaikan harga barangan bagi menampung kos sewajarnya difikirakan semula bagi mengelak inflasi yang lebih teruk memandangkan harga barang keperluan dan makanan masih kekal tinggi.

Ini kerana kenaikan harga minyak selalunya akan menyebabkan barangan keperluan dan makanan juga naik. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Penurunan harga minyak tidak menyebabkan harga barang keperluan dan makanan turun. Akibatnya, pengguna terpaksa pula menggunakan perbelanjaan yang dapat dijimatkan untuk membeli petrol kepada membeli barangan keperluan dan makanan yang agak tinggi.

Hakikatnya, selagi harga barangan terutamanya berupa makanan tidak diturunkan pada kadar mampu beli, selagi itu paras inflasi akan terus meningkat. Ini kerana Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan sahaja ditentukan oleh harga minyak tetapi juga berkait rapat dengan makanan.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menunaikan peranan masing-masing supaya paras IHP di negara kita tidak melonjak. Walaupun penurunan harga minyak ini tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat, sekurang-kurangnya ia menunjukkan tanda positif harga pasaran minyak dunia akan kembali ke tahap asal.

Sebagai pengguna, apakah pandangan anda dalam soal ini?

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum...

PM dah umumkan untuk penurunan kuasa dan turun dari tahta. Harga minyak juga telah turun pada paras 87.00. Bila lagi harga minyak nak turun lagi. Isu ini akan lebih hangat lagi diperkatakan oleh rakyat yang mengharapkan. Walaupun begitu, rakyat juga perlu sedar, bila turun harga minyak, jangan pula ambil kesempatan nak jual subsidi minyak kepada org luar. Bodoh betul dan menyusahkah orang lain. Kalau boleh jgn benarkan stesen minyak jual kepada org Singapura dan Thailand. Mereka bukannya hormat dengan negara kita. Suka ambil kesempatan saja.

Anonymous said...

bersyukurlh dengan ape yang diberi.nie tak...minyak naik bising time minyak turun pun bising.xkan kerajaan nak beri minyak free kot agak2lh.kl bg free negara jd maju xpelh.beringatlh setiap pemberian perlulh didahului dengan bersyukur n terima kasih n jgnlh nk comment yg buruk2 jugak.