Monday, November 23, 2009

Dasar Tempoh Jangka hayat Kenderaan Ditarik Balik

Pemilik kenderaan penumpang yang berusia 15 tahun ke atas kini tidak perlu lagi bimbang atau risau apabila Kerajaan mengambil keputusan menarik balik dasar Tempoh Jangka Hayat kenderaan seperti mana yang termaktub dalam Dasar Automatif Nasional (NAP) sebelum ini. Langkah tersebut diambil setelah mengambil kira pandangan, rungutan dan masalah yang ditimbulkan oleh pemilik kenderaan dan satu mekanisme baru kini sedang dikaji untuk menggantikan cadangan tersebut.

NAP diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 24 Oktober lalu di mana dasar Tempoh Jangka Hayat kenderaan merupakan salah satu dasar yang sudah dipersetujui. Di bawah dasar tersebut, pemilik kenderaan berusia 15 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan di Puspakom sebagai syarat untuk memperbaharui cukai jalan. Bagaimanapun sejak langkah tersebut diumumkan, Kerajaan menerima banyak aduan dan rungutan daripada orang ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan langkah pemeriksaan mandatori tahunan tersebut.


Keputusan tersebut menjadi bukti dasar terbuka Kerajaan dalam menerima pandangan yang dikemukakan oleh rakyat walaupun pada dasarnya tujuan memperkenalkan dasar tersebut adalah untuk menjamin keselamatan pengguna dan pemilik kenderaan tanpa berniat untuk menyusahkan rakyat.

Berikutan langkah menarik balik dasar tersebut, MITI akan mencari kaedah baru bagi menggantikan cadangan tersebut termasuklah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti langkah baru yang boleh diguna pakai. Paling penting adalah untuk memastikan setiap kenderaan di jalan raya benar-benar selamat terutama kereta yang sudah berusia lebih 15 tahun.


[Selanjutnya]

Wednesday, November 11, 2009

Peluang miliki rumah sendiri

Bagi merealisasikan konsep ‘Satu keluarga satu rumah’ dan bertepatan dengan gagasan 1 Malaysia yang mendahulukan rakyat dalam apa juga situasi seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan, penyewa rumah awam milik Kerajaan dan Kerajaan Tempatan kini berpeluang untuk memiliki kediaman sendiri berikutan langkah Kerajaan untuk membuka jualan kepada para penyewa.

Berita gembira tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini di mana sebanyak 44,146 unit rumah awam Kerajaan akan dijual kepada penyewa dengan harga antara RM21,500 hingga RM35,000 seunit bermula November ini. Selain itu penyewa juga boleh menikmati rebet sebanyak RM2,500 untuk setiap rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu antara RM1,540 hingga RM2,500 seunit bagi Perumahan Awam Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan pemilik membaik pulih rumah berkenaan.

Hadiah istimewa tersebut sebagai memenuhi janji beliau pada 11 Julai lalu iaitu sempena genap 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri antara lain ingin melihat setiap penduduk miskin di negara ini memiliki rumah sendiri di bawah konsep Satu Keluarga Satu Rumah.


Di bawah persetujuan yang telah diberikan oleh Kerajaan itu, sebanyak 29,562 unit PPR di bawah seliaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di 20 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dijual pada harga RM35,000 sebuah. Sementara bagi 14,584 unit Perumahan Awam DBKL di 17 lokasi pula akan dijual pada harga antara RM21,500 hingga RM35,000 sebuah mengikut keluasan kawasan dan jumlah bilik.

Borang permohonan akan mula diedarkan 12 Oktober lalu dan pemilik dijangka akan menerima surat kelulusan dan dokumen perjanjian jual beli rumah pada November atau Disember ini.

Kerajaan juga akan membantu penyewa terbabit mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan bagi membeli rumah berkenaan yang kini mempunyai nilai pasaran antara RM80,000 hingga RM85,000 seunit. Jika ada penyewa yang tidak mampu membelinya – mereka akan dibenarkan terus menyewa sehingga mereka benar-benar mampu untuk membelinya.

Selaras dengan konsep 1 Malaysia – rumah itu akan dijual kepada semua kaum yang menepati syarat kelayakan yang ditetapkan – antaranya mesti mempunyai pendapatan isu rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan dan keutamaan akan diberikan kepada penduduk yang telah lama menyewa.


[Selanjutnya]

Monday, November 2, 2009

Bauchar beras dilaksana hujung tahun

Bermula Disember ini, Kerajaan akan mengedarkan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara. Program yang akan dilancarkan oleh perdana menteri datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan bagi menggantikan pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.

Menerusi program subsidi itu kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan manakala lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 di lyar bandar akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu enam bulan sekali. Turut menerima beras percuma dan subsidi beras ialah kira-kira 15,000 keluarga orang asli di seluruh negara.

Pemberian kupon beras percuma ini dibuat selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melakukan kajian di mana hasil kajian itu mendapati keperluan sebenar beras ST15 oleh golongan sasar hanyalah sekitar 6,000 tan metrik sebulan – sedangkan pada masa ini (sejak April 2009) sebanyak 40,000 tan matrik sebulan di subsidi oleh Kerajaan. Jadi adalah tidak tepat jika banyak pihak terus mendakwa bahawa bekalan berat ST15 tidak cukup di pasaran seandainya semua pihak memahami matlamat sebenar beras ST15 ini di subsidi oleh Kerajaan.

Sehubungan dengan itu pihak kementerian mencadangkan supaya kaedah pelaksanaan program subsidi beras ST15 sedia ada tidak diteruskan selepas 30 November 2009 dan akan diganti dengan kaedah baru iaitu pemberian bauchar kepada golongan sasar di bawah program ‘Subsidi Beras Untuk Rakyat’ atau ringkasnya SUBUR yang akan dilaksanakan pada 1 Disember 2009.

Antara faedah yang dijangka dicapai melalui program tersebut termasuklah bagi memastikan subsidi kerajaan sampai sepenuhnya kepada golongan sasar. Ini bermakna hak golongan miskin dikembalikan kepada mereka.
Selain itu ia juga bertujuan untuk menghentikan penyelewengan bekalan beras ST15 dan sekali gus menutup ruang berlakunya ketirisan. Di samping itu ia juga mampu menjimatkan perbelanjaan Kerajaan dalam pemberian subsidi beras kepada rakyat di mana peruntukan hasil penjimatan ini boleh disalurkan kepada golongan atau sektor lain.

Keseluruhannya, kos program SUBUR dan penggunaan bauchar yang dicadangkan akan melibatkan perbelanjaan kerajaan dalam bentuk subsidi sebanyak RM8,250,854 sebulan.

Di antara golongan sasar yang layak menerima bauchar tersebut adalah berdasarkan daripada senarai eKasih iaitu golongan miskin tegar (49,437 keluarga), miskin (68,027), mudah miskin iaitu golongan berpendapatan rendah (111,054 keluarga). Masyarakat orang asli terdiri daripada keluarga miskin tegar sebanyak 8,808 keluarga dan miskin sebanyak 4,834 keluarga. Institusi kebajikan.

Bauchar tersebut akan diagihkan setiap enam bulan kepada golongan sasar yang dikenal pasti mengikut kawasan Parlimen dan disampaikan oleh ahli Parlimen Barisan Nasional atau Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP). Penerima boleh menggunakan bauchar tersebut untuk membeli beras di mana-mana permis runcit sedia ada yang menjual beras gred berkenaan. Pemborong boleh mengemukakan baucar tersebut kepada Pejabat Kawal selia Padi dan Beras Negeri-Negeri atau ibu Pejabat untuk menuntut bayaran.

Di bawah program ini, penerima kupon RM10 melayakkan pemegangnya membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) bagi sekilogram yang bernilai RM24 pada harga RM14 dan jika mahu membeli beras yang lebih mahal mereka hanya perlu membayar perbezaan harga beras itu sahaja.
Bagi melaksanakan tujuan itu – sebanyak 54,000 peruncit dan 1,200 pemborong beras di seluruh negara akan diberi surat arahan menerima garis panduan daripada kerajaan mengenai sistem pembelian melalui kupon ini. Di pihak peruncit mereka hanya perlu menyerahkan kupon yang diterima kepada pihak pemborong untuk mendapatkan wang tunai. Jika ada peruncit yang enggan menerima kupon yang dikemukakan, Kerajaan berhak menarik balik lesen peruncit terbabit.

Semua ini bertujuan untuk memastikan matlamat kerajaan membantu golongan miskin tercapai – kerana selama ini pengilang dan pemborong mengaut keuntungan besar terutama apabila kerajaan membahagikan beras kepada tiga kategori iaitu ST15 (15 peratus hancur), ST10 (10 peratus hancur) dan ST5 (lima peratus hancur).

Apa yang berlaku ST15 sukar diperoleh di pasaran kerana pemborong membungkus semula beras ST15 kepada ST10 atau ST5 yang harganya lebih mahal. Untuk mengelakkan penipuan daripada segi kualiti, Kerajaan mengambil keputusan dengan membenarkan beras ST15 dan ST15 dijual di pasaran terbuka manakala ST10 akan dimansuhkan.


[Selanjutnya]