Friday, August 14, 2009

Subsidi beras untuk golongan miskin

Satu ketika dulu beras menjadi isu hangat gara-gara kekurangan bekalan di pasaran dunia sekali gus menyebabkan harganya melambung naik. Lebih memburukkan keadaan apabila negara-negara pengeluar utama beras dunia seperti China, Mesir, Vietnam dan India mengehadkan eksport beras bagi memastikan bekalan beras mencukupi untuk kegunaan tempatan.

Banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut terutama bagi memastikan bekalannya berterusan dan harganya terjamin bagi mengelak rakyat terutama golongan berpendapatan rendah terjejas. Memandangkan pengeluaran besar tempatan hanya sekitar 1.1 juta tan setahun dan masih tidak mampu memenuhi penggunaan domestik, usaha mengimport makanan rugi penduduk dunia ini oleh Kerajaan sedikit sebanyak mampu membendung masalah tersebut.

Bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan keluarga miskin tegar tidak terjejas seperti mana yang berlaku sebelum ini, Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, akan memperkenalkan pemberian sistem kupon untuk membolehkan mereka mendapatkan bekalan beras dan meneruskan kehidupan seperti mana orang lain.

Buat masa ini pihak Kementerian sudah mengenal pasti seramai 100,743 ketua keluarga terdiri dari golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah yang layak untuk menerima subsidi melalui sistem kupon tersebut.

Nama-nama tersebut akan dikeluarkan pada bulan depan dan akan dipamerkan oleh Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) di tempat-tempat awam seperti balai raya, masjid-masjid dan surau-surau di setiap kawasan Parlimen. Mereka boleh membuat semakan nama tersebut untuk memastikan nama mereka tidak tercicir daripada senarai penerima bantuan.

Jika semua proses ini berjalan lancar dan mendapat pengesahan jemaah menteri, pelaksanaan sistem kupon ini akan dilaksanakan menjelang Oktober depan.


[Selanjutnya]

Monday, August 3, 2009

AS1M Untuk Semua

Berbeza dengan skim pelaburan amanah yang diperkenalkan sebelum ini, Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M) diperkenalkan khusus buat seluruh rakyat selari dengan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak – rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Dengan jumlah dana RM10 bilion iaitu dana terbesar yang pernah dikeluarkan oleh Permodalan Nasional berhad (PNB), AS1M terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, berusia 18 tahun ke atas dengan harga RM1 seunit. Ia boleh dilanggan bermula 5 Ogos sehingga 3 September 2009.

Daripada 10 bilion unit, 50 peratus diperuntukkan kepada Bumiputera, 30 peratus kepada kaum Cina, 15 peratus kepada kaum India dan selebihnya kepada kaum-kaum lain.

Sementara had langganan ditetapkan peda 50,000 unit bagi pelabur berusia 18 tahun dan 100,000 unit  bagi pelabur melebihi usia 55 tahun.

Golongan pelajar pusat pengajian paling bertuah apabila Kerajaan bersedia memperuntukkan sebanyak 100 unit percuma AS1M. Pemberian unit percuma ini membabitkan hampir 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009. Peruntukan  membabitkan sejumlah RM5 juta itu  disumbangkan oleh PNB, Malayan Banking Bhd, (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia.

Sebagai golongan pewaris negara, kerajaan mahu melihat golongan muda yang mendapat pendidikan peringkat ijazah menjadi warganegara berwawasan dan progresif serta bijak dalam bidang pelaburan dan perancangan kewangan.


[Selanjutnya]